Kelab Silat Kegayungan (Acheh) Helang Putih Malaysia UIA

Sejarah PSSK(A)HP Malaysia
Home
Sejarah Helang Putih Malaysia
AHLI JAWATANKUASA
HUBUNGI KAMI
Aktiviti Kelab

HIKAYAT P.S.S.K.A. HELANG PUTIH MALAYSIA

Seni Silat Kegayungan Acheh Helang Putih berasal dari Acheh. Menurut ceritanya anak raja yang bergelar Raja Sulung Tunggak Pahlawan dari negeri Pagar Gunung pergi berburu bersama-sama pengiringnya ke dalam hutan tebal yang jauhnya berpuluh-puluh kilometer dari istana.

 

Ketika asyik berburu baginda telah bertemu dengan seekor burung helang putih yang sangat cantik. Helang itu telah menarik minat baginda. Di dalam hati baginda alangkah beruntungnya jika burung itu dapat ditangkap dan dijadikan burung peliharaannya. Baginda sangat tertawan dengan burung helang sehingga tidak disedarinya telah mengikuti burung itu jauh ke dalam hutan seorang diri. Tanpa menghiraukan pengiringnya baginda telah sampai ke sebuah gua yang terletak di pertengahan puncak sebuah bukit. Keadaannya sangat sunyi tetapi bagaikan ada yang mendesak hati dan menggerakkan kakinya menuju ke sebuah gua yang sederhana besarnya itu.

 

Helang putih terus memasuki gua batu itu dan baginda terus mengikutinya dari belakang. Sebaik sahaja memasuki gua itu, baginda telah dikejutkan oleh satu lembaga manusia yang duduk kaku di atas sebuah batu besar. Lembaga yang dilihat itu adalah orang pertapa yang sudah bertahun-tahun lamanya  menetap di situ. Anehnya perasaan takut tidak terbit di hati baginda malah baginda asyik dengan apa yang ada di gua itu.

 

Akhirnya baginda terlena. Di dalam tidur yang nyenyak,baginda telah bermimpi orang pertapaan itu ialah Ratu Agung Raden Dindiar dan helang putih itu adalah daripada keluarga kayangan, anak kepada Tuan Puteri Terus Mata.

 

Helang putih itu asalnya ialah seorang lelaki yang perkasa dan pandai dalam ilmu persilatan, namanya Indera Sakti. Dia telah disumpah oleh ayahandanya kerana sering turun ke bumi dan berdamping dengan manusia.

 

Ratu Agung Raden Dindiar yang berasal dari Acheh, berketurunan Jawa, sayangnya kepada helang putih seperti dia menyayangi dirinya sendiri. Dari pergerakan seekor helang, Ratu Agung Raden Dindiar dapat mendalami ilmu beladiri dengan secukupnya. Sebaik anak raja itu terjaga dari tidurnya, baginda melihat burung helang putih masih berada dalam gua tersebut. Bermula dari peristiwa itu baginda tidak pulang ke istana sehingga menamatkan perguruannya dengan Ratu Agung Raden Dindiar.

 

Setelah bertahun-tahun lama mempelajarinya, baginda akhirnya pulang ke istana. Baginda telah mengembangkan ilmu yang dipelajarinya. Maka berkembanglah Seni Silat Acheh Helang Puth dan menjadi satu seni beladiri yang terkenal pada masa itu. Aliran silat ini merupakan silat keturunan yang sekarang dikembangkan secara meluas oleh cucunya Raja Sulung Tunggak Pahlawan iaitu Abdul Aziz bin Mohd Ali yang bergelar Raja Aziz Laksamana Hojak Andak.   

                                                           Dipetik dari buku Teknik Beladiri Siri Ke-2